Sultan Johor tarik gelaran Datuk CEO YPJH

JOHOR BAHRU - Gelaran Datuk yang diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pelajaran Johor Holdings (YPJH), Hamsan Saringat ditarik balik oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar, Sultan Johor, berkuat kuasa semalam.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, selain gelaran Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang dikurniakan kepada Hamsan pada tahun 2005, turut ditarik balik ialah Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) mulai tarikh sama.

Menurut beliau, penarikan gelaran Hamsan yang juga bekas Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) adalah mengikut Fasal 7 (2) (f) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 dan Fasal 13 Undang-Undang dan Peraturan Bagi Darjah Mahkota yang mana Sultan Ibrahim mempunyai kuasa untuk menarik gelaran tersebut.
Posted in: | Posted by :

MAYAT 7 TAHUN MASIH SEGAR

Oleh : Aminuddin Hashim

SEGAMAT - Kerja-kerja mengalihkan kubur di Kampung Batu Badak, Gemereh yang terlibat dengan pembinaan  Expressway Segamat – Tangkak telah membuktikan kebenaran janji Allah apabila 3 kubur yang hendak dipindahkan mengandungi jenazah yang masih kukuh dan elok baik dari segi jasad mahupun kain kafannya.



Menurut En Jalaluddin, pekerja Jabatan Kerja Raya yang terlibat dengan proses pemindahan kubur tersebut, salah satu jenazah yang telah dikuburkan selama 11 tahun itu merupakan guru mengaji Al-Quran semasa hayat hidupnya. Menurutnya lagi, 3 jenazah yang masih dalam keadaan elok itu sudah dikebumikan antara 7 sehingga 11 tahun. Beliau juga berkata, semasa proses mengeluarkan jenazah tersebut, bau harum semerbak menerpa ke hidung masing-masing.

Kubur ini terletak ditepi jalan utama dan menjadi laluan utama yang menghubungkan mahasiswa UiTM Cawangan Johor (UiTM) dengan pusat bandar Segamat.
Posted in: , | Posted by :

NOMBOR UNIK ID KEMASUKAN KE UNIVERSITI BOLEH DIBELI MULAI 20 JANUARI

PUTRAJAYA - Nombor unik ID untuk aplikasi dalam talian (online application) bagi permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk program pengajian lepasan STPM / Setaraf dan SPM / Setaraf untuk sesi akademik 2014 / 2015 boleh mula dibeli di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara bermula 20 Januari 2014.

Menurut surat yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato' Prof. Dr. Morshidi bin Sirat, aplikasi dalam talian hanya boleh diakses dengan menggunakan nombor unik ID. Justeru, pihak sekolah diminta menasihatkan pelajar Tingkatan 5, Tingkatan 6 Atas dan STAM 2013 yang ingin melanjutkan pelajaran ke IPTA, Politeknik Konvensional/METrO dan ILKA bagi Sesi Akademik 2014 / 2015 agar berurusan terus dengan kaunter BSN terdekat bagi mendapatkan nombor unik ID mulai tarikh tersebut. 

Menurut surat tersebut, tiada pembelian pukal nombor unik ID bagi permohonan sesi akademik kali ini. 

Terdapat dua kategori bagi nombor unik ID tersebut iaitu Kategori A dan Kategori B yang masing-masing bernilai RM 10.60 dan RM 15.60. Kategori A adalah untuk calon Lepasan SPM / Setaraf, Lepasan SKM, Lepasan Diploma Politeknik, Lepasan Sijil Politeknik, Lepasan Sijil Kolej Komuniti dan Lepasan Sijil ILKA. Manakala Kategori B pula adalah daripada calon lepasan STPM / Setaraf, Lepasan Matrikulasi KPM / PASUM / Asasi / Lepasan Diploma / Setaraf dan Lepasan STAM.

Turut diingatkan, penggunaan nombor unik ID ini digunakan untuk mengelakkan kebocoran maklumat akibat salah guna nombor unik ID untuk tujuan menjejaskan permohonan dan pemilihan kemasukan ke IPTA oleh individu yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.
Posted in: , | Posted by :

KPM GUNA LOGO BAHARU


PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sudah berwajah baru. Dengan penggabungan antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) telah membuatkan KPM menjadi sebuah kementerian yang lebih ke depan.

Melalui laman portal KPM semalam, KPM telah menghebahkan penggunaan logo baru (gambar). Jika dulu, logo KPM dianggap sebagai logo lapuk kerana hanya menggunakan jata Malaysia sebagai logo tidak setanding KPT yang mempunyai logo yang lebih inovatif, kini KPM gah dengan logo yang ringkas tapi menarik.

Logo tersebut adalah hasil sentuhan Prof. Dato' Dr. Ahmad Zainuddin dan Mohd Faizal Ahmad dari Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM).

Logo ini direka menggunakan huruf Alif sebagai konsep teras. Pendekatan menggunakan hurud atau tipografi adalah berdasarkan pengertian bahawa manusia yang pada masa hidupnya, berada pada jalan yang lurus sebagaimana huruf Alif itu. Alif juga membawa pengertian ilmu kerana Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat.

Selain itu, ilmu juga diklasifikasikan sebagai pengetahuan atau kepandaian yang merangkumi semua bidang iaitu duniawi dan ukhrawi. Ilmu juga ditakrifkan sebagai pemindahan roh atau jiwa daripada kegelapan kepada kecerahan dan sebagai suatu kebenaran dan keyakinan. 

Logo ini menggunakan dua 'P' dan dua Alif melambangkan dua peringkat pendidikan iaitu Sistem Sekolah dan Sistem Pengajian Tinggi. Huruf 'P' yang bertingkat ke arah Alif melambangkangkan tahap-tahap kecemerlangan pendidikan Malaysia.

Manakala, bentuk bulat berwarna biru melambangkan Malaysia sebagai sebuah pusat pendidikan yang bersifat global. Biru bermaksud professionalisme dalam sistem pendidikan negara. Kuning keemasan pula melambangkan kecemerlangan dan putih menggambarkan bahawa sistem pendidikan di Malaysia adalah sistem yang bermutu tinggi dan membentuk insan yang berkualiti dan berilmu mulia.
Posted in: , | Posted by :

YAYASAN BUDIMAN UiTM TAWAR DERMASISWA

SHAH ALAM - Yayasan Budiman Universiti Teknologi MARA (YBUiTM) hari ini mempelawa pelajar UiTM yang mengikuti pengajian dalam peringkat Sarjana (Sepenuh Masa) untuk memohon dermasiswa yang telah disediakan YBUiTM berjumlah RM 500.00 setiap semester.

Syaratnya antara lain menggariskan bahawa pelajar tersebut hendaklah tidak mendapat bantuan atau tajaan daripada mana-mana organisasi.

Bagi yang berminat, sila ke kaunter Yayasan Budiman UiTM esok bermula jam 9.00 pagi di Dewan Seri Budiman (DSB), UiTM Shah Alam untuk mendapatkan keterangan lanjut.
Posted in: , | Posted by :

DR. ZAKIR NAIK DAN BEKAS MENTERI TERIMA ANUGERAH TOKOH MAAL HIJRAH



PUTRAJAYA - Pendakwah antarabangsa merangkap Presiden Yayasan Penyelidikan Islam, Mumbai, Dr. Zakir Karim Naik, 48, adalah penerima tunggal Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa, semalam.

Selain beliau, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hamid Zainal Abidin, 69, pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan.

Dr. Zakir Naik
Zakir dan Abdul Hamid masing-masing dipilih untuk menerima anugerah berkenaan di atas sumbangan dan kejayaan mereka dalam memartabatkan Islam di peringkat global dan kebangsaan serta mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak.

Dr. Zakir Naik terkenal dengan cara dakwah inter religion yang memukau ramai orang bukan Islam untuk memeluk Islam. Beliau banyak menerangkan Islam melalui kitab Bible, Veda, Buddha dan Taurat.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampai anugerah tersebut kepada tokoh-tokoh berkenaan pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di sini, semalam.

Kedua-dua penerima tersebut masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000.00, pingat penghargaan Maal Hijrah dan sijil penghargaan.
Posted in: | Posted by :

UiTM JOHOR HANTAR WAKIL KE KARNIVAL KOLEJ SISWA KEBANGSAAN 2013


KUALA TERENGGANU - Seramai sembilan orang Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) UiTM Cawangan Johor menerima jemputan untuk ke Karnival Siswa Kebangsaan 2013 anjuran Felo Kolej Siswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

Program yang disertai oleh tujuh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) termasuklah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ini bertujuan untuk melahirkan pemimpin yang berkarisma, berfikiran strategik, cekap dalam pengurusan, perancangan dan membuat keputusan.

Antara aktiviti yang dianjurkan adalah Implikasi Kepimpinan (IMPAK). Aktiviti ini adalah aktiviti utama di mana setiap wakil IPTA dipecahkan dan membentuk kumpulan masing-masing. Berbekalkan RM200.00, peserta dikehendaki melaksanakan aktiviti di tempat-tempat yang ditugaskan. Antara tempat-tempat yang ditugaskan adalah di Pasar Payang, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT),taska, tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Menurut Exco Perhubungan Korporat dan Pengantarabangsaan JPK Kolej Sektor A, Aizam Firdauz, program ini telah memberi impak yang sangat besar kepada semua mahasiswa yang bakal bergelar pemimpin pada masa hadapan.

Delegasi tersebut membawa pulang anugerah, cenderahati dan sijil daripada pihak penganjur. Semoga dengan program inter universiti seperti ini dapat memberi kesan yang besar kepada pemimpin pelajar UiTM Cawangan Johor.
Posted in: , | Posted by :

LANCAR BALAI BERITA UiTM JOHOR



SEGAMAT - Sebuah portal berita secara atas talian telah ditubuhkan untuk memberi kemudahan kepada pelajar-pelajar UiTM Johor mengetahui maklumat-maklumat semasa berkenaan kampus.

Inisiatif ini sangat baik untuk memastikan pelajar UiTM Johor mengetahui hal-hal berkaitan kampus. Menurut Ketua Pengarang Berita Mahasiswa, Muhammad Akmal Ridzuan portal ini bakal memberikan satu kelainan untuk UiTM Segamat dalam aspek penyampaian maklumat kerana bersifat telus. Portal ini juga interaktif kerana boleh dilayari melalui telefon pintar.

Menurutnya lagi, peluang juga diberikan kepada kelab dan persatuan dalaman UiTM Segamat untuk beriklan dengan portal ini berkenaan apa-apa acara kelab dan persatuan dengan bayaran yang sangat minimum.

Portal ini diharap dapat memberi impak kepada pelajar UiTM Segamat untuk terus cakna terhadap isu semasa.
Posted in: | Posted by :

UiTM JOHOR SASAR 400 PELAJAR




SEGAMAT, 5 NOVEMBER – Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor mensasarkan kira-kira 400 pelajar yang akan mendaftar sebagai peserta Minggu Destini Siswa UiTM Cawangan Johor bermula 16 November ini.

Penolong Pendaftar Hal Ehwal Akademik (HEA) UiTM Cawangan Johor, Mohd Fadil Yusof, berkata persediaan HEA setakat ini dalam keadaan baik dan terkawal. HEA akan menjalankan tugas sebaik mungkin untuk memastikan keselesaan dan kemudahan pelajar sewaktu hari pendaftaran akademik nanti.

Bagi pihak Unit Pengurusan Kolej (UPK), isu utama pada setiap kali kemasukan pelajar adalah isu penempatan. Presiden Kolej Sektor A, Idi Amin Zainuddin ketika dihubungi menyatakan bahawa pihak Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) bersedia dalam apa jua keadaan yang akan berlaku kelak.

“Untuk peringkat awal, kami memang bersedia dengan sebarang kemungkin yang bakal berlaku daripada ibu bapa untuk pelajar baru yang dijangka kira-kira 200 pelajar untuk penempatan Sektor A. Bagi pendaftaran pelajar lama, proses rayuan akan dibuat pada 23 dan 24 November ini,” tambahnya.

“Kami menjangkakan banyak rayuan akan dibuat dan jumlah penempatan yang disediakan adalah terhad kerana dua blok dari Suluk Belingkung (SB) akan ditutup untuk kemasukan pelajar Ijazah dan transit. Jadi, pihak kami bersedia atas sebarang kemungkinan.”

Naib Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Muhammad Daniel Azahari pula berkata bahawa seramai 60 orang pemimpin mahasiswa akan menjadi tulang belakang kepada perjalanan Minggu Destini Siswa yang akan bermula 16 November ini. Pihak MPP juga bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. 

Foto bobuitmjohor.blogspot.com
Posted in: | Posted by :

MALAYSIA SAMBUT HARI INTEGRITI HARI INI

KUALA LUMPUR - Institut Integriti Malaysia (IIM) hari ini telah memulakan pelbagai aktiviti sempena Hari Integriti Nasional. Sambutan itu telah diraikan selama 8 kali sejak 2005 dengan harapan agar rakyat Malaysia dapat membudayakan integriti sebagai cara hidup.

Pada tahun 2004, kerajaan telah melancarkan Pelan Integrasi Nasional (PIN) dan menubuhkan IIM sebagai pelengkap kepada PIN untuk membudayakan integrasi dan memantapkan etika masyarakat Malaysia.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Unit Korporat dan Penyelarasan IIM, Presiden IIM, Datuk Dr. Mohd Tap Salleh mengingatkan agar semua sektor masyarakat menjadikan Hari Integriti Nasional ini sebagai titik permulaan bagi meningkatkan tahap integriti diri, keluarga serta masyarakat.

"Semua jentera masyarakat mempunyai tugas dan peranan masing-masing bagi melaksanakan misi nasional ini. Adalah penting bagi setiap individu di negara ini supaya membudayakan integriti bagi memastikan negara terus maju ke hadapan dengan mengikut acuan yang kita mahukan supaya negara kita muncul sebagai negara yang berdaya saing dan dihormati," ujar beliau dalam kenyataan tersebut.

Dr. Mohd Tap juga menyarakan supaya pembudayaan integriti ini diperkenalkan secara berterusan kepada generasi muda dan belia.

"Peranan belia sebagai aset masa depan negara dan pemimpin generasi akan datang adalah amat penting."

IIM telah merancang penganjuran pelbagai aktiviti sempena Hari Integriti Nasional ini antaranya Seminar Integriti yang akan diadakan pada 14 November ini di Auditorium Institut Integriti Malaysia dengan tema "Pelan Integriti Nasional : Sedekad Bersama Rakyat".

Forum tersebut akan menampilkan Felo Utama, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Rahman Embong, Pengerusi Jambatan Kedua Sdn. Bhd., Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob dan Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn. Bhd., Datuk A. Kadir Jasin.

Syarahan Perdana Integriti bertemakan "Political Integrity : Key To A Stabilize Region" oleh Wakil Tetap Malaysia di PBB, Tan Sri Razali Ismail juga akan diadakan pada 12 Disember di Auditorium Integriti, Institut Integriti Malaysia.
Posted in: | Posted by :

TIDAK PERLU MARAH

1. Ramai juga yang iri hati dan benci dengan pembelian pemain secara besar-besaran oleh Johor Darul Takzim. Ada pihak yang marah apabila pemain kesayangan mereka keluar pasukan untuk sertai Johor Darul Takzim sedangkan pemain itu rela bukannya dipaksa. Saya agak terkilan mengapa hal seperti ini boleh terjadi sedangkan pembelian pemain itu satu proses biasa dalam arena bola sepak. 

2. Saya berikan beberapa contoh pasukan luar yang punya kuasa wang dan mampu untuk beli pemain-pemain yang mahal. Real Madrid satu ketika dulu terkenal dengan tabiat memborong pemain bertaraf bintang - Zidane, Figo, Beckham, Robinho, Roberto Carlos dan ramai lagi. Begitu juga dengan Manchester City dan Paris St Germain.

3. Borong pemain bertaraf bintang ada impak yang positif dan negatif pada pasukan. Saya fikir, pasukan yang memiliki ramai pemain bintang sukar mewujudkan persefahaman sewaktu beraksi kerana setiap pemain mahu tunjukkan kehandalan masing-masing. Persefahaman itu akan hadir, tetapi mengambil masa yang lama.

4. Inilah yang berlaku kepada Johor Darul Takzim pada setiap perlawanan baik dalam liga mahupun dalam saingan merebut piala FA dan Piala Malaysia. Jarang menunjukkan aksi yang cemerlang. Seperti Manchester City juga alami perkara yang sama pada tahun-tahun awal direform, tiada piala yang berjaya dirangkul.

5. Pada hemat saya, ada baiknya Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) buat pelaburan besar kerana sekaligus telah berjaya meng'islah'kan atau reform bola sepak negeri Johor. 

6. Hari ini kita dapat lihat stadium kembali penuh dengan penyokong pasukan. Tidak kurang hebatnya di kedai kopi yang satu ketika dulu hanya tayangkan liga perdana inggeris tetapi hari ini sudah menayangkan aksi bola sepak tempatan. Dahulu kala, ramai yang segan silu - tidak mahu langsung -mengenakan jersi pasukan tempatan tetapi hari ini ke mana saja berbangga jersi pasukan masing-masing. 

7. Pasukan lain tidak wajar memarahi PBNJ tetapi sepatutnya sama-sama seiringan dengan PBNJ dalam usaha meng'islah'kan bola sepak tanah air. Bersama-sama meningkatkan mutu bola sepak tanah air. Tentunya harapan ini juga ditujukan buat FAM.

8. Justeru itu, adat dalam pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Jika ada rezeki, tahun 2014 adalah milik Johor Darul Takzim. Luaskan Kuasamu Johor! Majulah sukan untuk negara.

Faezuddin Puad

Mahasiswa UiTM Machang

Perhatian : Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis. Berita Mahasiswa tidak bertanggungjawab atas sebarang kemungkinan yang berlaku.
Posted in: , | Posted by :

EMEL PELAJAR @isiswa.uitm.edu.my

Mungkin tidak ramai yang mengetahui tentang ini. tapi tahukah anda bahawa setiap mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibekalkan setiap seorang satu emel peribadi yang menggunakan domain xxx@isiswa.uitm.edu.my ?

YA. Setiap mahasiswa UiTM mempunyai emel tersebut. Penggunaan emel ini sudah wujud sejak 2009/2010 atau lebih awal lagi dan kelebihannya, emel tersebut akan tetap boleh digunakan walaupun anda sudah tamat pengajian di UiTM.

JIKA SAYA ADA, APAKAH ALAMAT EMEL SAYA?

Format username setiap pelajar adalah seperti berikut :

emel : <no. id pelajar>@isiswa.uitm.edu.my
Kata laluan : no. kad pengenalan 

Anda boleh login secara terus melalui laman emel Microsoft Office 365 di http://mail.office365.com dan boleh terus menggunakannya untuk kegunaan peribadi anda. Berdasarkan maklumat dari Infotech UiTM, emel-emel rasmi dari pihak UiTM seperti keputusan peperiksaan akhir dan lain-lain hebahan juga akan turut dihantar ke alamat emel ini, selain emel yang anda telah nyatakan di dalam Student Portal anda.

PERLUKAH SAYA MENGGUNAKANNYA?

Memang diakui bahawa format alamat emelnya yang menggunakan nombor kad pelajar tidak digemari ramai, atau mungkin kurangnya promosi dari pihak UiTM sendiri tentang perkhidmatan emel ini, tetapi setiap pelajar UiTM DIGALAKKAN untuk menggunakan emel ini secara aktif. Kenapa? Kerana peruntukan dana yang besar dibelanja oleh UiTM untuk inisiatif emel ini dan semestinya kita tidak mahu ia hanya sekadar menjadi salah satu projek 'gajah putih' UiTM. Disamping semua mahasiswa aktif menggunakan emel yang sedia ada ini, pihak pentadbiran yang terlibat juga perlu mengambil tanggungjawab untuk mempromosi penggunaan alamat emel ini dan menstruktur semula projek emel ini agar ia lebih 'mesra pelajar'.

'UiTM SENTIASA DI HATIKU'

Wan Muhammad Hasif b. Wan Hassan
Semester 2
Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi
UiTM Shah Alam

Perhatian : Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis. Berita Mahasiswa tidak bertanggungjawab atas sebarang kemungkinan yang berlaku.

Posted in: | Posted by :

JPK UiTM JOHOR JELAJAH PANTAI TIMUR



KUALA TERENGGANU - Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) UiTM Johor mengambil kesempatan untuk menimba pengalaman kepimpinan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 25 hingga 27 Oktober lalu.

Program yang mengambil masa selama 3 hari itu memberi impak yang besar kepada mereka untuk meneruskan kepimpinan mereka di UiTM Johor. Seramai 92 orang JPK menyertai program ini.

Masturah Azman, Setiausaha JPK Sektor A berkata program ini memberi banyak manfaat kepada semua JPK kerana pelbagai percambahan idea baru yang dibincangkan dalam perkongsian dua hala JPK UiTM Johor, UniSZA dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dapat mempertingkatkan tahap kepimpinan dalam setiap individu dan penambahbaikan dalam setiap aktiviti yang bakal dijalankan. Beliau berkata lagi, program ini juga membuka mata JPK UiTM Johor untuk menyediakan dan melakukan aktiviti yang lebih menarik dan berkualiti tinggi bagi pelajar UiTM Johor.
Posted in: | Posted by :

PAS RAJA SUNGAI LIMAU


YAN, 4 NOVEMBER - PAS mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N20 Sungai Limau apabilan calonnya, Mohd Azam Abd Samat diumumkan menang dengan majoriti 1,084 undi mengatasi calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim pada Pilihan Raya Kecil (PRK), hari ini.


Abdul Rashid Othman, Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Sungai Limau mengumumkan sebanyak 23,249 pengundi atau 85.5 peratus yang keluar mengundi pada PRK kali ini, PAS mendapat undi sebanyak 12,069 undi mengatasi BN yang mendapat 0,985 undi. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Mei lalu, sebanyak 89.3 peratus yang keluar mengundi.

Keputusan diumumkan di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Kebangsaan Agama Yan, sebentar tadi. Kemenangan PAS kali ini menunjukkan bahawa demokrasi yang digunakan di Malaysia masih lagi berkesan.
Posted in: , | Posted by :

JURULATIH LONTAR PELURU NEGARA MENINGGAL DUNIA

KUALA LUMPUR, 4 NOVEMBER – Jurulatih lontar peluru negara, Mohd Nazar Abdul Rahim, 42, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini akibat komplikasi jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Khairul Bariah Mohd Adam, 42, dan dua orang anak perempuan yang masing-masing berusia 13 dan 15 tahun. Allahyarham bertugas sebagai jurulatih dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

Balu allahyarham yang bekerja sebagai guru di SMK Lembah Keramat, berkata  suaminya telah dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebanyak empat kali pada tahun ini.


Jenazah allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat selepas solat Asar hari ini.
Posted in: , | Posted by :

KHAMIL JAMIL TERIMA PSM


Sumber Gambar : BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 NOVEMBER - Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah berkenan menyampaikan darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelarang Tan Sri kepada Pengarah Urusan DRB-Hicom Berhad, Tan Sri Mohd Khamil Jamil pada majlis istiadat penganugerahan bintang dan pingat di Balairong Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. – Berita Harian
Posted in: | Posted by :

BN YAKIN TAWAN SUNGAI LIMAU



Sumber gambar : The Star

SUNGAI LIMAU, 4 NOVEMBER – Barisan Nasional (BN) hari ini yakin bahawa pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N20 Sungai Limau akan memilih BN sebagai pemimpin mereka untuk pilihan raya kecil (PRK) kali ini. Calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi bin Lazim, yakin mampu membuat kejutan pada PRK kali ini.

PRK itu adalah PRK yang kedua diadakan selepas pilihan raya umum Mei lalu atas kematian ADUN Sungai Limau, Tan Sri Dato’ Seri Azizan Abdul Razak yang juga bekas menteri besar Kedah pada 26 September lalu.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Paduka Mukhriz Tun Dr. Mahathir, dipetik berkata, beliau akan melantik diri sendiri sebagai ADUN angkat bagi kawasan tersebut sekiranya BN menang di kerusi tersebut.


Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh, menjangkakan keputusan akan diumumkan seawal jam 10.00 malam, hari ini. PRK N20 Sungai Limau menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi bin Lazim, dan calon PAS, Mohd Azam bin Abd Samat.
Posted in: , | Posted by :

GAJAH PUTIH JUARA

SHAH ALAM, 4 NOVEMBER – Perlawanan sengit Watsons Piala Malaysia pada kali ini akhirnya terjawab apabila skuad Gajah Putih berjaya memperoleh jaringan gol sebanyak 1 – 0 menentang skuad The Red Warrior pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam di sini, malam tadi.

Pemain import pasukan Pahang, Martias Ruben Conti menjadi hero pasukan tersebut apabila menjaringkan gol tunggal pasukan itu menerusi tandukan pada minit ke-58. Kemenangan malam tadi merupakan pengubat rindu buat rakyat Pahang untuk menjualang Piala Malaysia selepas 21 tahun yang lalu. Skuad Pahang pernah menjulang Piala Malaysia pada tahun 1983 dan 1992. Penyerang dari pasukan tersebut, Azamuddin Mohd Akil, dinobatkan sebagai pemain terbaik final Piala Malaysia 2013.


Perlawanan yang mendapat sambutan hangat itu akhirnya memberi kemenangan tipis kepada pasukan Pahang. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, semalam mengumumkan cuti peristiwa bagi rakyat Pahang esok. Pengumuman itu dibuat di Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang Bersama Pemain dan Pengurusan Pasukan Pahang di Kompleks Yayasan Pahang 1 November lalu.
Posted in: | Posted by :