NOMBOR UNIK ID KEMASUKAN KE UNIVERSITI BOLEH DIBELI MULAI 20 JANUARI
PUTRAJAYA - Nombor unik ID untuk aplikasi dalam talian (online application) bagi permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk program pengajian lepasan STPM / Setaraf dan SPM / Setaraf untuk sesi akademik 2014 / 2015 boleh mula dibeli di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara bermula 20 Januari 2014.
Menurut surat yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato' Prof. Dr. Morshidi bin Sirat, aplikasi dalam talian hanya boleh diakses dengan menggunakan nombor unik ID. Justeru, pihak sekolah diminta menasihatkan pelajar Tingkatan 5, Tingkatan 6 Atas dan STAM 2013 yang ingin melanjutkan pelajaran ke IPTA, Politeknik Konvensional/METrO dan ILKA bagi Sesi Akademik 2014 / 2015 agar berurusan terus dengan kaunter BSN terdekat bagi mendapatkan nombor unik ID mulai tarikh tersebut.
Menurut surat tersebut, tiada pembelian pukal nombor unik ID bagi permohonan sesi akademik kali ini.
Terdapat dua kategori bagi nombor unik ID tersebut iaitu Kategori A dan Kategori B yang masing-masing bernilai RM 10.60 dan RM 15.60. Kategori A adalah untuk calon Lepasan SPM / Setaraf, Lepasan SKM, Lepasan Diploma Politeknik, Lepasan Sijil Politeknik, Lepasan Sijil Kolej Komuniti dan Lepasan Sijil ILKA. Manakala Kategori B pula adalah daripada calon lepasan STPM / Setaraf, Lepasan Matrikulasi KPM / PASUM / Asasi / Lepasan Diploma / Setaraf dan Lepasan STAM.
Turut diingatkan, penggunaan nombor unik ID ini digunakan untuk mengelakkan kebocoran maklumat akibat salah guna nombor unik ID untuk tujuan menjejaskan permohonan dan pemilihan kemasukan ke IPTA oleh individu yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.
0 comments for "NOMBOR UNIK ID KEMASUKAN KE UNIVERSITI BOLEH DIBELI MULAI 20 JANUARI"
Leave a reply